Rabu, 14 November 2012

[Idaman_Group] 'Saya tak tentang cadangan mansuh hukuman gantung pesalah dadah'

 

SAYA merujuk kepada kenyataan Datuk Muhammad Shafee Abdullah di dalam ruangan Rencana, Mingguan Malaysia pada Ahad, 4 November 2012.

Saya terpanggil untuk memberi penjelasan dan memperbetulkan tafsiran terhadap kenyataan saya mengenai cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, untuk memansuh hukuman gantung sampai mati terhadap pesalah dadah.

Adalah tidak betul dan tidak menurut fakta apabila Datuk Mohammed Shafee menyatakan dalam tulisannya bahawa saya menentang cadangan memansuh gantung pesalah dadah.

Dalam mana-mana kenyataan atau komen yang saya keluarkan terhadap cadangan memansuh hukuman gantung pesalah dadah saya tidak pernah menyatakan saya menentang cadangan tersebut.

Saya tidak menentang cadangan memansuh gantung pesalah dadah. Apa yang saya cadangkan kepada Mohamed Nazri ialah beliau harus memberi sebab-sebab yang lebih kukuh untuk menyokong cadangan beliau selain daripada membawa isu mengenai menyelamatkan nyawa keldai dadah yang ditahan di luar negara dan mungkin dikenakan hukuman mati di negara tersebut.

Pemansuhan sesuatu hukuman yang melibatkan kepentingan awam hendaklah dikaji dengan teliti dan dilihat dari pelbagai sudut di mana kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat mestilah diutamakan.

Apa yang saya telah cadangkan ialah kerajaan sepatutnya menimbang cadangan Nazri secara teliti terutamanya terhadap suatu isu yang ada berkaitan dengan nyawa manusia.

Dalam konteks itu pendirian saya ialah cadangan memansuh gantung pesalah dadah perlu dihalusi dan diberi pandangan oleh semua lapisan masyarakat.

Kalau perlu suatu pungutan suara atau referendum sepatutnya diadakan untuk menentukan hasrat rakyat terhadap isu yang begitu penting ini.

Saya juga pernah menyatakan bahawa kerajaan harus juga mengkaji secara teliti sama ada masa telah tiba bagi Malaysia mengamalkan dasar tidak ada hukuman gantung mandatori di negara kita terhadap semua jenayah.

Semua ini saya berpendapat memerlukan satu pungutan suara rakyat dan apakah keputusan rakyat harus diambil kira selaras dengan amalan rakyat didahulukan.

TAN SRI LEE LAM THYE

Aktivitis Masyarakat



__._,_.___
Recent Activity:
.

__,_._,___

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Sila tinggal saran