Minggu, 25 Agustus 2013

[Idaman_Group] Agama: Sudut Pandang Islam Terhadap RIBA

 


 

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).



Agama: Sudut Pandang Islam Terhadap RIBA


Riba adalah suatu perkara yang kurang diambil penting dalam masyarakat islam Malaysia, mungkin disebabkan kesedaran dan kejahilan masyarakat dalam memahami isu riba. Sejak merdeka negara kita ditumbuhi dengan banyaknya bank konvensional secara pesat umpama cendawan tumbuh selepas hujan dan bank Islam tiada lagi ketika itu. Kebanyakkan bank ini menyediakan instrument-instrument yang penuh dengan riba dan gharar (penipuan) yang jelas dilarang oleh Islam.

Apabila adanya Bank Islam Malaysia yang ditubuhkan pada April 1983 dan window-window islam yang dibuka sendiri oleh bank konvensional seperti RHB Islamic Banking,HSBC Amanah, dan lain-lain lagi, bilangan yang menggunakan instrument-instrument  patuh syariah masih lagi berada dalam nisbah yang sedikit jika dibandingkan dengan nisbah bilangan penduduk Malaysia yang menggunakan bank-bank konvensional, malah kebanyakkan yang menggunakan instrument patuh syariah terdiri daripada bukan Muslim. Umat islam masih suka menggunakan instrument-instrument yang mengamalkan riba agar cepat kaya dan mudah tanpa memikir ke hadapan dari sudut jangka panjang dan balasan yang Allah janjikan untuk orang-orang yang terlibat dalam riba.
Dalil-Dalil Pengharaman Riba:
1. Allah menghalalkan semua jenis jual beli kecuali jual beli yang melibatkan riba, Allah berfirman dalam kitab sucinya:
"Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka,mereka kekal di dalamnya."[1]
2. Perang diisytiharkan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW terhadap manusia yang terlibat dengan riba. Tiada maksiat lain yang Allah dan Rasul iklankan perang terhadap seseorang kecuali RIBA. Allah berfirman juga
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa."[2]
Ayat di atas ini sangat jelas akan pengharaman riba, Allah memanggil dengan panggilan "Wahai Orang Beriman", Ibn Abbas RA telah berkata dalam satu riwayat: Kami (sahabat) apabila mendengar ayat-ayat yang menyebut 'wahai orang-orang beriman', kami mendongak kepala kami, kami memasang telinga kami untuk mendengar dan ambil perhatian serta bersedia untuk menerima arahan daripada Allah SWT." Jadi ambil perhatianlah wahai orang-orang beriman.
Sesungguhnya nas ini diikat oleh Allah dengan perkataan iman seolah Allah berkata: Orang-orang beriman itu meninggalkan saki baki riba yang mereka miliki. Faham daripada konteks ini bahawa tidak berimanlah seseorang  kecuali dia bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan saki baki riba. Jika tidak melaksanakan perkara ini dia bukanlah orang beriman walaupun dia mengiklankan bahawa dia orang beriman kerana tiada iman tanpa ketaatan kepada Allah SWT dan tanpa patuh pada segala arahannya.[3]
3. Hadis tentang larangan riba:
Dari Jabir Ibn Abdillah telah berkata: Rasulullah SAW menglaknat sesiapa yang memakan (harta) riba, yang menjadi wakil, penulis (bagi kontrak)  dan saksi-saksi, Baginda telah berkata: Mereka semua sama)[4]
4. Hadis lain juga ada menyebut bahawa riba termasuk dalam dosa besar:
 
Rasulullah SAW bersabda: Jauhilah kamu daripada tujuh dosa-dosa besar: Syirik kepada Allah dan Sihir, bunuh manusia yang diharamkan darahnya oleh Allah, memakan (hasil) riba, memakan harta anak yatim,…)[5]
5. Para ulamak pada setiap zaman berijmak mengatakan haram mengambil riba. Ibn Qudamah telah berkata: Umat bersepakat mengatakan riba haram.[6]
Pemahaman daripada dalil yang disertakana di atas, bahawa haram dan berdosa besar sekiranya seseorang terlibat dengan riba. Zaman sekarang yang terlalu ramai manusia mengejar dunia seolah-oleh kita tidak mampu lari daripada riba malah sekiranya kita cuba lari pasti terkena tempiasan riba ini.
Jenis-jenis riba:
Ulamak membahagikan riba kepada dua iaitu riba dalam jualbeli dan riba hutang.
1. Riba Dalam Jual Beli:
Jenis ini berkait rapat dengan beberapa buah hadis yang berkaitan dengan kategori-kategori barang yang digelar barang ribawi sekiranya tidak mengikut syarat yang ditetapkan.
Daripada Ubadah ibn As-Somit RA telah berkata: "aku telah mendengar Rasulullah SAW melarang daripada jualbeli emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam kecuali secara sama bentuknya (timbangannya, isipadunya atau bilangan) barangsiapa yang menambah (timbangannya) sesungguhnya ia telah melakukan riba"
Dalam riwayat yang lain: "…tidak mengapa sekirannya jual beli emas dengan perak, (timbangan) lebih antara yang lain (tetapi) tangan dengan tangan (menukar pada waktu yang sama)…"
Difahami daripada hadis di atas, sekiranya jual beli pada jenis yang sama, wajib timbangannya, isipadunya atau bilangannya sama antara satu sama lain dan menukarkan barang-barang tersebut pada waktu yang sama tidak dibenarkan salah seorang daripada merek menangguh dalam jual beli ini. Sekiranya tidak menepati dua syarat disebutkan di atas maka ia menjadi riba.
Sebagai contoh Ahmad membeli 10 kilo beras gred A daripada Ali dengan bayaran sebanyak 5 kilo beras gred B pada tarikh 25/1/2012. Jual beli ini adalah riba sepertimana yang difahami daripada hadis di atas, dan ulamak mengelarkan riba ini sebagai riba fadhl (riba lebihan).
Contoh lain: Siti membeli 10 gram emas 999 daripada Aminah pada tarikh 25/1/2013 dengan bayaran 10 gram emas 916 pada tarikh 27/1/2013. Jual beli ini juga digelar riba walaupun timbangan gram emas sama tetapi berbeza dari segi masa pertukaran barang maka ia disebut oleh para ulamak sebagai riba nasi'ah (riba tangguh).
Sekiranya berbeza jenis barang, maka jual beli seperti mana yang kita sukai atau kehendaki sama ada timbangan lebih daripada barang yang lain, atau sama atau pun kurang daripada barang tersebut tetapi bersyarat pertukaran barang mesti pada waktu yang sama.
Sebagai contoh: Hilmi membeli 3 kilo barli daripada Karim dengan bayaran 10 kilo garam pada tarikh yang sama dan masa yang sama.
Jual beli berbentuk seperti ini kerap berlaku pada zaman ini antaranya  forex (jual beli mata wang) sekiranya tidak mengikut syarat yang disebutkan di atas iaitu sama nilainya sekiranya jenis matawang adalah sama dan juga jual beli tersebut pertukaran wang tersebut pada waktu yang sama, maka dibenarkan oleh syara'.
2. Riba Hutang
Riba seperti ini sudah dikenali dalam masyarakat kita, malah banyak instrument pinjaman dan pembiayaan yang disediakan oleh bank konvensional dan ahlong-ahlong baik yang rasmi atau haram mempunyai unsur riba jenis ini. Riba hutang ini bermakna seseorang meminjam wang atau sesuatu harta dengan kadar tertentu dan akan membayar hutang ini dalam tempoh tertentu dengan syarat membayar wang tambahan, dan sekiranya lewat daripada waktu yang ditetapkan wang yang disyaratkan semakin meningkat.
Riba tidak dipanggil riba pada zaman sekarang tetapi dipanggil dengan panggilan yang Nampak baik kononnya seperti Bunga, faedah, interest dan sebagainya. Riba seperti ini juga diharamkan oleh islam.
 
Kalau Riba  Sedikit  dibenarkan?[7]
Ada  beberapa ulamak yang berpandangan membenarkan jual beli riba sekiranya nisbah nilai riba tersebut sedikit iaitu tidak menjangkau 2% dan sekiranya nilai riba melebihi daripada nisbah tersebut maka haram baginya. Mereka berdalilkan:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya."[8]
Ulamak rabbani menolak pendapat ini dengan berhujahkan:
  1. Ayat أَضْعَافًا مُّضَاعَفَةً  berlipat-lipat ganda bukanlah menunjukkan bahawa syarat bahawa ia tidak dibenarkan sekiranya banyak atau pun mengambarkan sebagai pengikat bagi riba tetapi merupakan penerangan kepada realiti ketika zaman jahiliyah riba dikaut secara banyak sehingga menzalimi orang ramai.
  2. Ulamak seluruh zaman sudah bersepakat akan haramnya riba baik sedikit atau pun banyak, maka pendapat di atas sudah keluar daripada ijmak ulamak dan bererti mereka tidak memahami usul fikh. Sedikit akan membawa kepada banyak, islam sekiranya mengharamkan sesuatu akan mengharamkan semua yang berkaitan dengannya berdasarkan dalil saddu zaraie' (menutup jalan yang membawa kepada mafsadah). Seperti mana arak, ada orang minum sedikit sudah mabuk dan ada yang minum banyak belum menjadi mabuk, maka islam mengharamkan semua baik yang sedikit atau pun yang banyak.
  3.  Adakah mereka beriman dengan sebahagian kitab dan mengkufuri sebahagian yang lain?  Adakah mereka tidak membaca ayat yang lain seperti: "Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba", "Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu", dan "Allah susutkan  riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah". Maka keseluruhan ayat-ayat yang berkaitan riba menunjukkan bahawa pengharaman secara qat'iyah dan jelas.
Penutup: Wahai Orang Beriman, Jauhilah!
Sebagai penutup, orang-orang beriman apabila mendengar arahan Allah swt terus melaksanakan tanpa banyak soal, dan meninggalkan larangan-Nya tanpa ragu-ragu. Kewujudan bank islam yang menyediakan pelbagai instrument yang patuh syariah boleh digunakan oleh masyarakat islam. Walaupun terlalu banyak tarikan-tarikan duniawi daripada pihak-pihak yang menyediakan instrument yang berpaksikan riba baik bank mahupun kerajaan, tetapi Allah SWT sentiasa membantu hamba-hambanya yang berpegang teguh pada deen-Nya.
Barat menjadi bukti satu persatu bank konvensional mereka gulung tikar seolah-olah Allah mengishtiharkan perang terhadap pengguna riba dengan membuatkan mereka menjadi muflis dan mula beralih kepada sistem ekonomi islam. Pada 2009 sahaja sebanyak 97 buah bank di barat diishtiharkan muflis, anataranya National Bank Of Commerce Berkeley USA, Bank of Clark County Washington USA Magnet Bank dan banyak lagi. [9]Maka saya akhiri penulisan ini dengan satu persoalan, sekiranya barat sudah mula beralih kepada sistem ekonomi islam, kenapa kita berebut-rebut mengambil sistem ribawi sebagai paksi?

[1] Al-Baqarah:275
[2] Al-Baqarah: 278-279
[3] Sayyid Qutb, Fi Dzilal Al-Quran (2004), jld 1, hal. 330
[4] Hadis Sohih Riwayat Muslim
[5] Hadis Sohih Riwayat Muslim
[6] Al-Mughni oleh Ibn Qudamah, Jilid 4, hal. 3
[7] Tafsir Ayat Ahkam, Dr. Ali As-Sobuni, Jld. 1, hal. 280
[8] Ali-Imran: 130
[9] http://www.fdic.gov/

PENULIS:-
Nama penulis Mohd Mukhlis Bin Mohd Nasri, Berasal dari Alor Setar, Kedah. Anak kedua daripada enam orang adik beradik. Kini sedang menuntut di pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Fikh wa Usluluh di Yarmouk University, Jordan.

__._,_.___
Recent Activity:
.

__,_._,___

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Sila tinggal saran