Jumat, 16 November 2012

[Idaman_Group] Paradoks perkauman di mamak

 

Zulhabri Supian suka berjalan dan bercita-cita untuk menghayati semangat anak muda walau nanti akan tua secara biologi. Zulhabri juga aktif di Komuniti Frinjan (http://frinjan.blogspot.com), Alternative Tourism (http://www.facebook.com/altourism.asia) dan menulis di blog (http://habri.blogspot.com).


Hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur dan bandar-bandar sekeliling yang membentuk wilayah Lembah Klang pasti tidak akan terlepas dari pemandangan restoran India Muslim (lebih dikenali sebagai mamak) yang bertebaran. Di mana pusat perniagaan dibina, di situ jua mamak akan wujud untuk menyediakan ruang makan, minum dan melepak hingga puas. 

Makanan mamak yang sinonim dengan Pulau Pinang kini berevolusi menjadi institusi di luar daerah kelahiran yang memasyhurkannya. Mamak yang keluar dari kepompong beradaptasi dengan lingkungan barunya dengan menambahkan menu-menu yang bukan tradisi seperti hidangan tom yam dan sebagainya. Saya masih ingat sewaktu masih bersekolah (sekitar 90an) mamak sangat jarang dijumpai dan jika ada imejnya dikaitkan dengan kekotoran.

Entah bagaimana perlahan-lahan mamak berubah menjadi bersih walau masih banyak yang kotor dan sentiasa memenuhi permintaan pelanggan dengan kemudahan-kemudahan seperti internet percuma, televisyen yang banyak dan bermacam lagi. Layanan pantas dan kerusi meja yang tersedia banyak semakin mendorong masyarakat berbilang bangsa melepakkan diri meski kadangkala rasa makanannya di bawah standar.

Satu hal pasti budaya mamak yang telah menjadi budaya nasional ini menjadi alternatif paling sesuai dengan kebudayaan majoriti warga Malaysia yang beragama Islam. Melepak hingga larut pagi yang sering diidentifikasikan dengan minum arak, berpesta dan sebagainya di negara lain diberi makna yang berbeza di sini.

Beralih dari sisi positifnya, restoran mamak menyerlahkan sisi negatif masyarakat kita yang terpecah belah mengikut bangsa dan juga bahasa percakapan. Meskipun kemajmukan Malaysia dapat dilihat di mamak, namun sangat menyedihkan tiada interaksi bermakna di kalangan bangsa yang berbeza. Jika di satu meja terdiri dari pelbagai bangsa, seringkali pandangan-pandangan yang terlihat hairan akan kelihatan.

Paradoks "kemajmukan" di mamak yang sangat menghiris adalah kebiasaan untuk mengutuk bangsa lain walaupun jarak meja di antara satu sama lain tidak terlalu jauh. Perkauman di meja makan yang sering dipraktikkan di rumah keluarga dipindahkan ke meja makan mamak. Restoran mamak berubah menjadi wahana penyebaran kebencian dan prejudis ala Malaysia iaitu secara aman tanpa pergaduhan dan pertumpahan darah.

Namun begitu, kita tidak boleh memaksakan bangsa-bangsa yang berbeza untuk duduk semeja semata-mata ingin dilihat 1 Malaysia. Mungkin mereka yang memilih untuk berada di dalam kepompong ada alasan tersendiri seperti keselesaan berada dengan rakan sebangsa atau berbicara dalam bahasa yang dimengerti. Mungkin juga keadaan ini diakibatkan oleh dasar perkauman yang diterapkan kerajaan yang pro-Melayu Bumiputera dan kemudian diikuti oleh sektor swasta yang umumnya pro-Cina.

Kembali ke positifnya, restoran mamak turut menjadi medan melawan apa yang negatif tadi. Sejak reformasi tercetus pada bulan September 1998, boleh dikatakan perlawanan terhadap penindasan dan ketidakadilan seperti praktik perkauman dimulai di mamak. Mamak adalah medan bertempur idea sebelum bertempur dengan sang penguasa dan sang perkauman.

Perlahan-lahan pasca-2008 dan pasca-Bersih 2.0 mamak berubah menjadi medan penyatu masyarakat berbilang bangsa untuk bangkit melawan meski masih jauh dari kemenangan dalam erti kata menumbangkan rejim perkauman Umno dan Barisan Nasional. 

Tetapi harus diperingat, andai rejim Umno BN berjaya ditumpaskan perlawanan melawan perkauman tidak akan perlahan melainkan harus lebih intensif. Perkauman bukan saja mendarah daging di dalam Umno BN tetapi juga Pakatan Rakyat dan rakyat seluruhnya. Bahkan boleh dikatakan prejudis dan kebencian adalah prasyarat menjadi warga Malaysia.

Tumbangnya Umno BN adalah langkah awal pembersihan elemen perkauman di sektor awam dan tugas seterusnya adalah pembersihan elemen perkauman di bidang ekonomi dan sektor swasta yang turut mendarah daging tetapi didiamkan dari dibicarakan tanpa diketahui alasannya. 

Membasmi perkauman akan mengambil masa, cepat atau lama bergantung kepada sejauh mana kita mengakui dan berusaha melawannya. Pada masa sama jangan pula menindas dan memandang hina pelayan-pelayan di restoran mamak kerana tanpa mereka yang sehari-hari dieksploitasi tenaganya, mamak seperti konsep yang ada sekarang tidak akan wujud.

__._,_.___
Recent Activity:
.

__,_._,___

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

Sila tinggal saran